Ciri-ciri Keusahawanan

Pendahuluan

KEUSAHAWANAN sudah lama wujud sebagai satu pilihan kerjaya. Kebanyakan orang bagaimanapun lupa akan hakikat ini kerana mereka sentiasa menganggap bahawa kerjaya hanya melibatkan pekerjaan yang ada majikan yang memberi gaji. Keusahawanan tidak melibatkan majikan yang memberi gaji, tetapi usahawan bekerja sendiri dan menjadi majikan kepada dirinya. Walaupun begitu keusahawanan tetap menjadi satu bidang kerjaya yang diceburi sejak dahulu lagi. Corak pembentukan sejarah negara kita telah menyebabkan berlakunya pengasingan dalam pemilihan kerjaya mengikut golongan etnik. Sehingga lebih kurang 30 tahun yang lalu, keusahawanan bukan merupakan satu pilihan kerjaya bagi kaum Bumiputera yang merupakan majoriti golongan etnik. Jika adapun kaum Bumiputera yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya, hanya dalam bentuk kecil-kecilan ataupun kerana terpaksa disebabkan kurang kelayakan untuk mendapat kerja lain.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 1970 telah memberi kesedaran dan peluang kepada golongan Bumiputera khususnya untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya. Berikutan itu, berbagai langkah telah diperkenalkan untuk menggalakkan keusahawanan kepada golongan Bumiputera. Penekanan oleh Kerajaan dalam pembangunan usahawan menjadi lebih ketara dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan pada 8 Mei 1995.

Wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 juga menjurus kepada dasar-dasar Kerajaan untuk terus menggerakkan negara kearah perindustrian dan perdagangan. Dasar-dasar ini dengan secara langsung telah meningkatkan lagi peluang-peluang keusahawanan dan melahirkan ramai usahawan dari pelbagai kaum.

Tiga atau empat dekad yang lalu, kerjaya sebagai usahawan bukan merupakan pilihan bagi kebanyakan orang. Ini kerana peluang-peluang perniagaan tidak begitu menyerlah dan banyak pekerjaan lain yang lebih mudah didapati. Kebanyakan berpendapat bahawa keusahawananadalah sesuatu yang sukar dan ianya merupakan satu kerjaya yang tidak terjamin berbanding jika bekerja makan gaji, lebih-lebih lagi bekerja dengan Kerajaan. Malahan tidak salah jika dikatakan bahawa golongan Bumiputera yang menceburi diri dalam bidang keusahawanan adalah kerana terpaksa disebabkan oleh kegagalan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lain. Mereka yang menjadi ‘usahawan terpaksa’ ini selalunya tidak begitu bersedia dari segi kemahiran terutamanya untuk mengharungi cabaran dan dugaan dunia perniagaan.

Mereka biasanya belajar melalui kesilapan dan pengalaman. Jika mereka lambat belajar dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya keusahawanan, maka sukar bagi mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya. Bagaimanapun, perubahan dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya pada dua dekad kebelakangan ini telah melahirkan banyak peluang-peluang perniagaan. Pusat-pusat pengajian tinggi juga mula menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan. Perkembangan sebegini menyebabkan lebih ramai orang, terutamanya kaum Bumiputera yang mula memahami dan meminati bidang perniagaan dan keusahawanan. Dengan itu kita dapati bahawa lebih ramai yang secara sedar dan sukarela memilih keusahawanan sebagai kerjaya mereka. Mereka mula melihat keusahawanan sebagai sumber rezeki yang lebih meyakinkan.

Memandangkan ramai yang menjadi usahawan atas pilihan sendiri, kita menjangkakan bahawa mereka tentunya telah bersedia untuk berjaya sebagai usahawan. Namun begitu kita dapati ramai juga yang gagal dalam perniagaan yang diceburi. Melihat kepada kegagalan yang berlaku kepada sebilangan usahawan, kita tertanya apakah keusahawanan merupakan satu kerjaya yang selamat? Untuk membuat kesimpulan kita perlu melihat secara terperinci apakah pula ciri -ciri keusahawanan, faktor persekitaran luaran dan proses kreativiti.

Ciri-Ciri Keusahawanan

Untuk menjadi usahawan yang cemerlang, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan beberapa ciri tertentu. Ciri utama ialah memastikan mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang diceburi. Ini bermakna usahawan perlu berusaha mendapatkan semua maklumat yang perlu mengenai perniagaan yang menjadi pilihan mereka. Pemilihan bidang perniagaan tidak boleh dilakukan secara ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama. Kita perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih seperti berikut:

  • Maklumat mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan.
  • Maklumat pasaran yang disasarkan.
  • Maklumat mengenai persaingan.
  • Maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran.
  • Struktur kos, penetapan harga dan kadar keuntungan.
  • Kelakuan-kelakuan tertentu dalam industri yang diceburi.

Kebanyakkan para pengkaji bersetuju keberkesanan aktiviti usahawan adalah dengan mencari dan mengambil inisiatif. Golongan ini sanggup meletakkan diri mereka sebagai orang yang bertanggungjawab di dalam sesuatu operasi tidak kira sama ada berjaya atau gagal. Usahawan adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap apa yang akan berlaku. Mereka mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah dimana tidak ada pemimpin lain yang sanggup mengambilnya.

Kejayaan sesuatu usaha bergantung kepada komitmen usahawan tersebut. Komitmen membantu usahawan untuk mengatasi ancaman dan rintangan di dalam perniagaan. Komitmen usahawan terhadap idea dan pelaburan mereka menentukan kejayaan pelaburan yang mereka usahakan.

Fokus usahawan dan mula merebut peluang tidak bergantung kepada kajian, struktur atau strategi. Mereka bermula dengan peluang yang ada dan membiarkan kefahaman mereka menjadi panduan ke atas isu-isu yang penting. Usahawan mempunyai kebijaksanaan di dalam mencari peluang yang ada. Di dalam mencari peluang perniagaan baru, usahawan melihat peristiwa atau kejadian sama seperti orang lain, tetapi hasilnya atau penilaian terhadap peristiwa tersebut adalah berlainan. Usahawan bukan sahaja berkebolehan mencari peluang yang ada tetapi mempunyai kebolehan untuk meraih peluang tersebut.

Usahawan bukanlah seorang yang sanggup mengambil risiko secara membabi buta; segala risiko yang bakal dihadapi telah diambil kira. Apabila seorang usahawan melibatkan diri didalam sesuatu pelaburan, semua perkiraan telah diambil kira demi untuk mengelakkan usahawan tersebut menanggung risiko yang tidak sepatutnya. Usahawan mempunyai keyakinan diri yang tinggi di atas kebolehan mereka untuk mencapai kejayaan. Kecenderungan ini membuatkan mereka bersikap optimistik terhadap kejayaan yang akan mereka kecapi dan sikap ini berdasarkan kepada keadaan sebenar. Dengan mempunyai keyakinan dan optimistik yang tinggi, tidak hairanlah banyak usahawan yang pernah gagal berkali-kali akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Kreatif dan inovatif adalah perkara utama yang perlu ada pada setiap usahawan untuk memperolehi kelebihan persaingan di dalam pelaburan mereka. Melalui fikiran yang kreatif, inovatif dan daya imaginasi, usahawan boleh menghasilkan produk yang khusus dan perkhidmatan kepada para pengguna. Kreativiti boleh dipelajari.

Usahawan suka mengetahui bagaimana prestasi mereka dan sering kali cuba memperbaikinya. Mereka aktif mencari dan menggunakan maklumbalas yang diterima sebagai cara untuk memperbaiki prestasi mereka. Dari maklumbalas, usahawan boleh mempelajari dari kesilapan yang telah mereka lakukan.

Kejayaan merupakan motivasi utama untuk seseorang usahawan. Apabila usahawan memulakan sesuatu, beliau mempunyai semangat untuk menyelesaikannya, mengunggulinya dan mengejar serta mencapai cita-cita yang mencabar. Satu fahaman yang sering disalah ertikan mengenai usahawan adalah “wang menjadi satu keinginan yang kuat”. Kepada usahawan, wang hanya sekadar menunjukkan kejayaan yang mereka kecapi dan wang bukan merupakan pemacu motivasi kepada usahawan. Usahawan tahu apa yang ingin mereka capai. Mereka mempunyai visi atau konsep untuk firma mereka. Tidak semua usahawan mempunyai visi diawal perbukaan firma mereka. Di kebanyakkan kes, visi dibangunkan setelah usahawan mula menyedari apa yang telah berlaku kepada firma tersebut.

Membina perniagaan dari permulaan bukannya perkara yang mudah. Oleh itu, usahawan berkebolehan memilih dan mengumpul para pekerja seperti yang dikehendaki untuk menjayakan tugas tersebut. Usahawan berkebolehan untuk mengurus sumber mereka secara berkesan untuk menukarkan visi menjadi realiti.

Usahawan percaya kejayaan atau kegagalan sesuatu usaha adalah bergantung kepada diri mereka sendiri. Kemajuan dan kemunduran berada di dalam kawalan dan pengaruh mereka sendiri, dan mereka boleh mempengaruhi akibat yang akan berlaku hasil dari tindakan yang mereka lakukan. Usahawan tidak mudah kecewa, putus asa dan sedih apabila mengalami kegagalan. Mereka belajar dari kegagalan. Pada waktu yang sukar, mereka masih lagi mencari peluang yang ada. Kebanyakkan usahawan percaya mereka lebih banyak belajar dari kegagalan berbanding dengan kejayaan.

Usahawan adalah lebih bersemangat berbanding dengan kebanyakkan orang. Usahawan perlu lebih bertenaga untuk membolehkan mereka menanggung beban yang besar dan tekanan yang akan mereka hadapi. Tenaga tersebut merupakan faktor utama untuk membolehkan mereka memulakan perniagaan. Usahawan yang berjaya selalunya mempunyai standard (kualiti) yang tinggi, bersemangat untuk membantu syarikat berkembang dan membangun.

Usahawan adalah seorang yang berdikari. Mereka suka menyelesaikan sesuatu tugas mengikut cara mereka. Ini tidak bermakna usahawan mesti membuat semua keputusan. Mereka mahu mempunyai kuasa (hak) untuk membuat keputusan yang penting.Usahawan tidak tegas terhadap perniagaan (pelaburan) mereka. Mereka amat fleksibel dan berkebolehan untuk menukar cara mereka mengikut kehendak pelanggan dan suasana perniagaan. Dengan ekonomi dunia yang sering berubah, sikap tegas(ketegasan) seringkali membawa kepada kegagalan.

Untuk membuat keputusan sebelum menceburi diri dalam bidang perniagaan tertentu, bakal usahawan seharusnya membuat kajian dan penilaian tentang perniagaan yang dicadangkan. Rancangan perniagaan yang melibatkan semua maklumat yang telah disebutkan hendaklah disediakan untuk menilai daya maju perniagaan tersebut. Sebahagian daripada penyediaan rancangan perniagaan sebaiknya merangkumi analisis SWOT (Strengths, Weaknesses, Opportunities and Threats) yang melihat kepada faktor-faktor kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang terdapat dalam perniagaan tersebut. Analisis SWOT akan membantu bakal usahawan menilai kesemua aspek yang akan menghasilkan keputusan yang lebih bijak.

Selain dari pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang dipilih, usahawan juga perlu mempunyai beberapa ciri peribadi yang merupakan ciri-ciri utama keusahawanan. Kita tidak nampak bagaimana seseorang usahawan akan berjaya tanpa ciri-ciri seperti berikut:

  • Komitmen yang tinggi dan sanggup bekerja kuat.
  • Jujur dan ikhlas.
  • Berdaya kreatif.
  • Mahir berkomunikasi.
  • Berani menanggung risiko.
  • Bijak membuat penilaian dan keputusan.

Ramai yang telah menerokai bidang keusahawanan, ada yang sudah berjaya dan tidak kurang juga yang menemui kegagalan. Jika terdapat dua orang yang menceburi perniagaan yang sama, tidak semestinya mereka mendapat keputusan yang sama. Kajian menunjukkan terdapat beberapa faktor utama yang membawa kejayaan atau kegagalan seseorang dalam bidang keusahawanan. Di antara faktor kejayaan ialah:

  • Pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi.
  • Keinginan yang kuat untuk berjaya.
  • Berdisiplin dalam menguruskan perniagaan.
  • Memberi tumpuan dalam perniagaan.
  • Mempunyai pasukan pengurusan yang cekap.
  • Membentuk jaringan perniagaan yang luas.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang gagal dalam perniagaan, ada kalanya kegagalan itu disebabkan faktor-faktor yang di luar kawalan usahawan seperti krisis matawang pada tahun 1997. Bagaimanapun, antara punca-punca kegagalan di dalam kawalan usahawan yang telah dikenalpasti adalah:

  • Kurang memahami bidang perniagaan yang diceburi.
  • Terlalu cepat mempelbagaikan perniagaan.
  • Terlalu bergantung kepada satu atau dua pelanggan.
  • Mempunyai pasukan pengurusan yang lemah.
  • Tidak dapat bersaing kerana kos yang tinggi.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: